Tuesday, October 27, 2009

JAMBATAN RUNTUH PUSAT KO-K KINTA SELATAN

Dalam kejadian jam 10.30 malam tadi, seorang murid lemas manakala dua lagi masih hilang apabila jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat Ipoh runtuh.

19 lagi yang sebelum ini dikhuatiri hilang, selamat.

Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan. - Bernama

Kerajaan luluskan RM10,000 kepada keluarga mangsa lemas

KAMPAR: Kementerian Pelajaran meluluskan RM10,000 kepada tiga keluarga mangsa bagi pengurusan pengkebumian murid yang mati lemas selepas jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian di tempat kejadian, sebentar tadi - Bernama


Pelajar melompat, bermain atas jambatan sebelum runtuh

KAMPAR: Antara 30 hingga 50 murid berada di atas jambatan gantung yang menghubungkan tapak perkhemahan dan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang ketika ia runtuh semalam.

Kejadian itu menyebabkan seorang murid mati lemas dihanyut air deras Sungai Kampar, dua lagi masih hilang, manakala 19 yang lain selamat.

Seorang murid yang terselamat K Mathivanan, 12, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika ada antara mereka menyeberangi jambatan itu untuk ke sekolah untuk makan malam dan ada yang balik ke kem.

Beliau berkata, sebelum runtuh, jambatan itu bergoyang kerana ada murid yang melompat dan bermain ketika berada di atasnya.

"Masa itu ada 30 hingga 50 murid atas jambatan. Tiba-tiba saja kami tercampak ke dalam sungai dan saya sempat berpaut pada tali...air sungai sangat kuat tetapi saya dapat menarik badan untuk naik," katanya.

Mathivanan berkata, suasana seronok tiba-tiba menjadi keadaan kelam kabut dan ramai murid menjerit meminta tolong dan ada yang menangis.

Beliau adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan di situ.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lalu bagi menggantikan jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini, kata seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Jambatan itu menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang. Seorang guru, Mohd Safri Abdul Rafar, berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.

"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai, saya sempat membawa naik tiga atau empat murid...air sangat deras dan saya sendiri hampir lemas dan terpaksa naik ke tebing," katanya.

Safri berkata, beliau kemudian turun semula dan sempat membawa naik lima lagi murid. "Pengawal sekolah ini yang dikenali sebagai Idris sempat menyelamatkan enam murid, tapi saya sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang murid yang berpegang pada tali besi sebelum melihat dia dihanyutkan air," katanya.

Perkhemahan yang bermula hari ini, dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam, kata guru SK Seri Tronoh itu.

Seramai 23 guru terbabit dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya, minggu lalu.

Perkhemahan yang sama diadakan serentak hari ini di Daerah Larut, Matang dan Selama serta Daerah Manjung, katanya.

Murid yang menyertai perkhemahan itu terdiri daripada pelbagai bangsa sejajar dengan objektif perkhemahan untuk mereka berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti memasak masakan tradisional, mengikuti latihan kebudayaan dan bermain pelbagai jenis permainan rakyat. - Bernama

TPM arah tubuh jawatankuasa khas siasat kejadian Kuala Dipang

GOPENG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan satu pasukan penyiasat diketuai Ketua Pengarah Pelajaran dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai kejadian di Sungai Kampar itu, pagi ini.

Muhyiddin turut mengumumkan sumbangan kerajaan RM10,000 untuk tiga keluarga mangsa kejadian bagi urusan pengkebumian.

ANGGOTA bomba dan penyelamat membawa keluar mayat murid yang dijumpai di Sungai Kampar, hari ini selepas mangsa dihanyutkan arus deras dalam kejadian jambatan runtuh di Kuala Dipang, semalam. - Foto Ikhwan Munir

1 comment:

  1. Kalau ikut jadula saya pulak akan masuk Pusat Ko di kuala dipang pada minggu depan isnin-rabu untuk kursus KRS pelajar tingkatan 3

    ReplyDelete